UNIT PENGURUSAN PENGANUGERAHAN BINTANG DAN PENYELIDIKAN

Pencalonan bagi Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) setiap tahun adalah dibuka bermula bulan September tahun sebelumnya dan ditutup pada akhir bulan November tahun yang sama.
Calon-calon yang berjaya akan dihubungi oleh Urus setia pada bulan Mei tahun penganugerahan melalui surat tawaran dan senarai penuh pengurniaan DKBPP akan diumum dan dimuat naik ke laman web Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa pada hari Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang akan disambut pada hari Sabtu minggu pertama bulan Jun setiap tahun.
Seseorang yang telah menerima DKBPP hanya boleh dicalonkan semula selepas tiga (3) tahun kurniaan terdahulu.
Bagi pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP), Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa bertanggungjawab untuk menyedia dan telah mempunyai satu sistem rekod yang lengkap dan terkini ke atas semua penerima anugerah Persekutuan. Senarai penerima DKBPP telah dimuat naik ke laman web Jabatan ini bagi tahun 1958 hingga 2015. Manakala maklumat penerima Darjah Kebesaran peringkat Negeri yang ada di laman web Jabatan ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam Warta Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri (DKBP Negeri) yang dibekalkan kepada Jabatan ini oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Hanya senarai penerima Darjah Kebesaran yang telah diwartakan dan dibekalkan ke Jabatan ini sahaja dimuat naik ke laman web. Semakan lanjut boleh dibuat dengan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berkaitan sekiranya maklumat penerima tiada di laman web Jabatan ini.